gejala sosial
Monday, September 27, 2010
Sunday, September 5, 2010
ISU PEMBUANGAN SAMPAH SARAP
Sampah sarap (municipal solid waste) dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang faedah, malah boleh mendatangkan mudarat jika disimpan. Dengan itu, selalunya sisa-sisa tersebut dibuang dan dilonggokkan di tempat-tempat pembuangan sampah sama ada menggunakan teknik pembuangan yang betul atau sebaliknya. Sampah boleh dikategorikan kepada dua, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik (Ridwan Lubis, 1994). Sampah domestik adalah bahan-bahan buangan yang dibuang dari rumah atau dapur. Contohnya seperti botol, kaca, tin aluminium, beg plastik, kertas, pakaian buruk dan juga sisa makanan. Sampah bukan domestik pula adalah bahan-bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan, pekedai atau pasar dan pejabat. Bahan-bahan buangan ini terdiri daripada pelbagai jenis termasuklah sisa jualan, sisa pembuangan dan sisa daripada proses pengilangan.
Di Malaysia, terutamanya kawasan penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram pembuangan sampah setiap hari, berbanding 0.8 kilogram bagi penduduk luar bandar. Angka ini terus meningkat dengan pertambahan penduduk dan tahap kehidupan rakyat yang semakin baik. Pembuangan sampah sesuka hati bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan manusia bahkan juga turut mengancam hidupan laut. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu mencari jalan penyelesaiannya dengan secepat mungkin sebelum masalah ini menjadi semakin serius.
Rakyat Malaysia sering membuang sampah tidak kira tempat, asalkan ada kesempatan. Natijahnya, kita dapat melihat di mana-mana sahaja ada sampah tidak kira di rumah, pejabat, kedai, tepi dan dalam sungai dan seumpamanya. Ini demikian kerana adanya sikap tidak bertanggungjawab sesetengah masyarakat yang membuang sampah di merata-rata tempat. Keadaan ini bukan sahaja mengotorkan alam sekitar dan jika dibiarkan ia akan menyebabkan keadaan sekeliling berbau busuk dan seterusnya menarik perhatian haiwan perosak seperti tikus dan lalat di mana haiwan ini turut merupakan pembawa penyakit seperti Taun. Tambahan pula, takungan-takungan air seperti di tempat pembuangan sampah telah menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Keadaan ini mendorong kepada penyebaran penyakit Deman Denggi yang boleh membawa maut kepada manusia.
Selain itu, masalah pembuangan sampah turut mencemarkan keindahan dasar laut dan seterusnya menjejaskan kehidupan hidupan laut. Menurut laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau dikenali sebagai UNEP telah menyatakan bahawa berlakunya kematian di kalangan hidupan laut seperti penyu, ikan, burung, ikan lumba-lumba dan anjing laut adalah disebabkan oleh tertelan barangan plastik. Mereka juga telah menganggarkan bahawa di seluruh dunia sebanyak seratus ribu ekor mamalia laut dan penyu mati setiap tahun disebabkan oleh sampah plastik. Kejadian ini telah mengganggu keseimbangan ekosistem akuatik.
Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pembuangan sampah yang semakin buruk ini ialah meminimumkan penghasilan sampah sarap. Kempen"3R"(Reduce, Reuse and recycle, meminimumkan iaitu Kurangkan, Gunakan Semula, dan Kitar Semula) merupakan pengurusan sampah sarap dari segi sisa. Contohnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah melancarkan ‘hari tiada beg plastik’ pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu di seluruh negeri Pulau Pinang bagi mengurangkan kadar pembuangan sampah jenis plastik malah juga mengurangkan kos pengendalian sampah sarap dan dapat memelihara alam sekitar.
Rentetan itu, pendidikan dan kesedaran dalam bidang sisa sampah dan pengurusan sisa sampah semakin penting dalam menangani masalah pembuangan sampah . Pihak sekolah dan ibu-bapa perlu menyalurkan ilmu moral tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan menanam tabiat menjaga kebersihan alam sekitar sejak mereka berada di peringkat kanak-kanak lagi. Pelbagai kempen perlu dilaksanakan seperti ceramah "Cintailah Sungai Kita", iklan TV dan radio perlu diadakan dari semasa ke semasa agar dapat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
Kesimpulannya, masalah pembuangan sampah sarap telah mengancam kehidupan manusia dan haiwan serta menjejaskan kesejahteraan alam sekitar. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu dalam usaha mengatasi masalah pembuangan sampah sarap. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan harus melaksanakannya dengan sempurna dalam menjamin kesejahteraan hidup masa kini serta kehidupan generasi akan datang. Langkah-langkah seperti meminimumkan sampah-sarap dan pendidikan serta kempen perlu diteruskan. Kerjasama dari pelbagai pihak amatlah dihargai dalam mengatasi masalah ini hingga ke akar umbi dan semoga kita boleh sentiasa hidup dalam persekitaran yang bersih dan sejahtera.
MEROKOK
Tabiat merokok merupakan suatu fenomena masyarakat di mana kewujudannya boleh ditafsirkan dari pelbagai aspek. Antaranya ialah aspek sosiobudaya, psikologi, persekitaran, pengaruh iklan dan aspek pengaruh sosial. Kita dapat melihat orang yang merokok di merata-rata tempat sama ada di kampung, bandar dan sebagainya. Perokok sentiasa mempertahankan kepercayaan bahawa merokok mempunyai kebaikannya sendiri. Contohnya dapat memberi tumpuan perhatian yang lebih baik, keupayaan berfikir yang lebih tajam, dapat mengurangkan tekanan, ketegangan dan juga akan berasa lebih tenteram, tetapi perokok ini tidak mengambil kira tentang kesan dan akibatnya selepas merokok.
Kandungan dalam rokok adalah berbahaya. Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih daripada 4000 bahan kimia beracun yang akan membahayakan perokok ataupun orang sekelilingnya dan boleh membawa maut iaitu 200 daripadanya ialah toksik dan 63 lagi boleh menyebabkan kanser dan dikenalikan sebagai karsinogen. Dengan ini, setiap sedutan daripada rokok tersebut merupakan satu sedutan maut. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun. 30% daripadanya adalah disebabkan oleh 10 jenis kanser iaitu kanser paru-paru, kanser esofagus, kanser mulut, kanser pankreas, kanser tekak, kanser pundi kencing, kanser serviks, kanser buah pinggang, kanser kolon dan kanser perut. 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25% masing-masing. Menurut Dr. Sallehudin, lebih 100,000 perokok akan dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat penyakit sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 billion setahun untuk menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201), dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (Acetone), pencuci lantai (Ammonia), ubat gegat (Naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (Arsenic), gas beracun (Hydrogen cyanide) yang digunakan di “kamar gas maut” bagi pesalah yang akan menjalani hukuman mati, pelarut industry (Toluidine), bahan api roket (Menthanol), minyak pemetik api (Butane) dan banyak lagi. Namun begitu, racun yang paling penting ialah Tar, Karbon Monoksida dan Nikotin.
Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui akan menjadi penyebab kanser karsinogen iaitu bahan yang akan menghasilkan barah atau kanser. Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis polycyclic aromatic hydrocarbon (PAH) yang telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.
Karbon Monoksida merupakan gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas beracun monoksida akan menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu sehingga ianya menjadi terencat. Jika paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%, maka ini boleh menyebabkan kematian. Apabila racun rokok itu memasuki ke dalam tubuh manusia atau tubuh haiwan, maka ianya akan membawa kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu akan dikeluarkan dari badan.
Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain akan bertindak balas di dalam otak dan akan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Mengikut saintifiknya, nikotin merupakan sejenis najis dadah, seperti yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Seseorang yang kehabisan rokok, kadangkala akan mengalami gangguan emosinya atau dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Jadi untuk meninggalkan tabiat merokok untuk selamanya adalah amat sukar bagi sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua. Nikotin juga merupakan punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Lebih kurang satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, penyakit sakit jantung merupakan penyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.
Golongan-golongan perokok ini mempunyai sebab-sebabnya sendiri untuk merokok. Antaranya ialah untuk menghilangkan kebosanan, menghilangkan perasaan kesepian, untuk meredakan tekanan, rokok mudah diperolehi atau dibeli, merokok adalah menyeronokkan, merokok ialah kelakuan yang lumrah dalam masyarakat, merokok untuk berjaga hingga lewat malam, dipengaruhi oleh rakan-rakan, untuk mendapatkan nikmat merokok dan disebabkan oleh ramai orang dalam komuniti merokok. Oleh disebabkan golongan perokok ini mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk merokok, maka secara tidak langsung, perokok ini tidak terfikir akan kesan-kesan asap rokok yang akan mendatangkan kesan negatifnya terhadap diri sendirinya, orang di sekelilingnya perokok itu, isterinya malah terhadap anak-anaknya. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau sesiapa yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok ini akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini, maka ia akan menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Selain itu, kesan asap rokok terhadap isteri perokok ialah isteri perokok akan lebih terdedah kepada kanser dan akan mengurangkan kesuburan serta putus haid yang awal. Kesan-kesan asap rokok terhadap anak perokok pula akan menyebabkan tumbesaran terbantut dan risiko mendapat serangan asma.
Rawatan boleh dijalankan untuk perokok yang telah merokok sejak bertahun-tahun dan agak sukar untuk berhenti secara mengejut dengan menggunakan BAE Synergy Touch. BAE Synergy Touch boleh mengurangkan kesan bahaya rokok dengan meneutralkan bahan aktif rokok. BAE Synergy Touch berperanan untuk mengurangkan tahap tar dan nikotin rokok. BAE Synergy Touch ialah sekeping kain kapas yang disebatikan dengan BIO- Activated Energy (BAE) dan di lapik dengan lapisan nipis logam keemasan.
Oleh itu, bagi perokok yang telah menghentikan tabiat merokok akan membawa banyak faedah sama ada terhadap diri sendiri ataupun orang di sekelilingnya. Antaranya ialah dapat hidup dengan lebih lama kerana memiliki tubuh yang lebih sihat, dapat meningkatkan kecergasan, dapat menghindari racun serta dapat menjadi teladan yang baik kepada anak-anak tersebut.
Kesimpulannya, dalam rokok terkandung pelbagai jenis racun yang amat berbahaya kepada semua pihak. Jadi hindari daripada menjadi salah seorang perokok tersebut dan berhentilah merokok untuk melahirkan generasi yang lebih sihat.
ROGOL
Kini, masalah sosial semakin serius di negara kita, kes rogol adalah salah satu daripadanya. Perkataan rogol berasal dari perkataan Latin ‘rapere’ yang bermaksud merampas atau mencuri. Rogol atau pencabulan merujuk kepada serangan seksual yang mana penyerang memaksa mangsa untuk melakukan hubungan seks tanpa keizinan atau kerelaan mangsa itu. Rogol boleh juga merujuk kepada berlakunya hubungan seksual dengan kerelaan mangsa tetapi dari segi undang-undang mangsa tersebut belum cukup umur, ini dikenali sebagai “rogol statutori”. Istilah “rogol dating” atau “rogol kenalan” dalam bahasa pasar merujuk kepada perogolan yang berlaku antara individu yang bertemu berdua-duaan atau berkenalan. Di Amerika Syarikat, “Laporan Jenayah Seragam” (Uniform Crime Reports) menggunakan istilah “rogol paksaan” untuk menjelaskan perogolan seorang wanita oleh seorang lelaki.
Punca-punca yang mendatangkan kes rogol adalah pengaruh media massa. Media massa seperti komputer dan televisyen banyak menayangkan rancangan dari Barat. Filem-filem lucah dan bahan-bahan pornografi mudah didapati oleh semua orang melalui internet. Ini bermakna filem-filem tersebut yang pada masa dahulunya hanya boleh disiarkan di negara-negara Barat, kini boleh didapati di Malaysia dan ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat. Selain itu, lambakan bahan picisan yang berunsurkan seks juga mudah didapati kerana dijual di merata-rata tempat dengan harga yang murah. Media massa juga menyampaikan maklumat fesyen-fesyen terkini yang kebanyakannya menjolok mata atau berpakaian seksi menyebabkan kes rogol berlaku.
Pegangan agama yang rapuh juga punca berlakunya kes rogol. Dalam kalangan setengah masyarakat, kita didapati agama mereka tidak lagi memainkan peranan penting dalam kehidupan. Tanpa didikan agama, mereka tidak dapat membezakan antara perbuatan yang baik dan buruk. Mereka tidak dapat bertindak secara rasional dan lebih suka mengikut emosi untuk mengatasi sesuatu masalah. Oleh itu, mereka mudah terpengaruh dengan gejala sosial seperti kes rogol. Tetapi jika seseorang itu adanya didikan agama dalam hati dia, didikan itu boleh menjadi benteng yang kukuh untuk menahankan dia daripada melakukan perbuatan yang tidak baik. Masyarakat yang tidak berpegang agama tidak takut membuat dosa kerana beranggapan perbuatan tersebut tidak mendapat pembalasan Tuhan pada masa itu.
Selain itu, sikap masyarakat yang bersifat tidak peduli, individualistik dan materialistik menyebabkan kes rogol berlaku berleluasa. Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian, kebanyakan kes rogol banyak berlaku di bandar, sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa-apa perkara yang berlaku di sekeliling mereka menyebabkan perogol merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini kerana mereka tahu tidak ada sesiapa yang akan ambil peduli.
Kesan kes rogol terhadap mangsa ialah kesan kepada psikologi. Mangsa rogol biasanya didapati mengidap Sindrom Renjatan Emosi Rogol (Rape Trauma Syndrome (RTS). Mangsa tersebut akan berasa dosa, malu, terhina, ketegangan, kemarahan dan ketidakselesaan pada perut. Mangsa rogol mungkin juga berhadapan dengan kehamilan yang tidak diingini, penyakit kelamin, gangguan tidur, perasaan takut yang melampau, gagal dalam perhubungan dan lain-lain. Mereka yang mengalami trauma secara psikologi mungkin akan menunjukkan tingkah laku untuk membunuh diri dan memerlukan pertolongan daripada pakar psikiatri.
Kesejahteraan sosial digugat akibat daripada berlakunya kes rogol. Apabila kes rogol berlaku di sekeliling kita, ketenteraman awam akan diganggu, masyarakat akan berasa tidak selamat. Mereka akan sentiasa bimbang tentang keselamatan diri, keluarga dan kawan mereka.
Jika bilangan kes rogol di negara kita semakin meningkat ia akan menjejaskan imej negara. Negara-negara lain akan memandang rendah kredibiliti negara kita, maka pelancong asing akan mengurangkan minat mereka untuk membuat pelancongan. Pelancong asing yang melancong di negara kita dan melihat gejala ini berlaku berleluasa, mereka akan menceritakan kepada kawan-kawan yang lain apabila mereka balik ke negara asal mereka. Media massa negara asing akan mengheboh-hebohkan perkara tersebut lalu menjejaskan imej negara kita.
Terdapat beberapa langkah untuk mengatasi gejala kes rogol, antaranya ialah peranan kerajaan memainkan peranan yang penting. Kerajaan haruslah melancarkan pelbagai kempen ataupun program tentang kes rogol kepada semua kalangan masyarakat. Kerajaan boleh memaparkan informasi yang berkaitan melalui media massa sedia ada. Selain itu, hukuman terhadap perogol juga boleh dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.
Media massa seperti surat khabar, internet dan lain-lain juga memainkan peranan yang amat penting. Media massa sebagai alat penyampaian informasi terkini patutlah berhati-hati semasa memilih bahan yang ingin diterbitkan atau ditayangkan. Bahan yang dipilih mestilah bahan yang bermutu dan bukanlah memilih bahan yang berbentuk komersial sahaja atau boleh membawa kemudaratan kepada masyarakat atau dirinya sendiri. Media massa seharusnya jangan mendedahkan filem-filem atau program hiburan yang mempamerkan unsur-unsur lucah.
Individu itu sendiri juga boleh mengelakkan diri dia sendiri daripada terlibat dalam kes rogol. Pemakaian kita seharusnya jangan terlalu menjolok mata orang lain atau pemakaian yang terlalu seksi lalu menyebabkan perhatian orang lain tertumpu kepada kita. Jangan mendedahkan diri kepada unsur-unsur mengandungi lucah. Kaum wanita harus bertegas dalam menjaga kehormatan diri dan tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu lelaki. Elakkan daripada pulang ke rumah di waktu malam atau melalui lorong-lorong gelap dan sunyi, jika memang perlulah balik rumah pada waktu malam pastikan sentiasa di teman rakan yang sama jantina.
Berdasarkan undang-undang di Malaysia, hukuman terhadap perogol ialah jika dia disabitkan bersalah, dia akan dihukum mandatori minima selama 5 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun penjara termasuk dirotan. Di negeri-negeri Amerika Syarikat, rogol boleh mengakibatkan hukuman mati pada awal abad ke-20an.
Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu menangani gejala kes rogol ini supaya tidak menjadi lebih serius lagi. Mangsa-mangsa rogol sepatutnya membuat laporan supaya perogol itu boleh ditangkap dan dihukum.
PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT
Telefon bimbit juga dikenali sebagai telefon tangan, telefon selular atau telefon tanpa wayar. Ia merupakan peranti elektronik, mudah alih, jarak dekat yang digunakan sebagai alat perhubungan suara atau data melalui jaringan stesen pangkalan yang dikenali sebagai tapak sel.
Pada tahun 1876, kejayaan Alexander Graham Bell mencipta telefon telah membolehkan masyarakat seluruh dunia berhubung antara satu sama lain walaupun berjauhan. Dengan mengalami perubahan mendadak dan berkembang dengan pesat dalam bidang teknologi telekomunikasi, manusia dapat berhubung dengan manusia lain tanpa bantuan kabel melalui telefon bimbit.
Kini, telefon bimbit merupakan barangan keperluan seharian yang akan dibawa ke mana-mana sahaja supaya mudah dihubungi. Dengan ini, banyak syarikat telah ditubuhkan untuk menawarkan perkhidmatan talian di Malaysia. Antaranya ialah MAXIS, DIGI, CELCOM dan TM (dulu dikenali sebagai TELEKOM). Selain itu, jenama telefon bimbit yang terdapat di pasaran adalah seperti Nokia, Samsung, Motorola, Sony Ericson, LG, dan banyak lagi.
Fungsi asas telefon bimbit adalah seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi perutusan teks dan membuat panggilan. Selain itu, telefon bimbit juga mempunyai pelbagai fungsi tambahan untuk menarik minat pengguna seperti mempunyai kamera dengan perakam video, perkhidmatan internet, permainan, radio dan khidmat pesanan multimedia (MMS) bagi menghantar dan menerima gambar dan video. Ini menyebabkan telefon bimbit menjadi salah satu keperluan manusia yang penting pada masa kini. Namun, di sebalik kecanggihan telefon bimbit ia juga mendorong kepada berlakunya peningkatan masalah sosial dalam kalangan masyarakat ini.
Penggunaan SMS amat popular dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana mereka mudah berkongsi maklumat tentang sesuatu hal. Namun penggunaan bahasa singkatan semasa SMS memberi kesan buruk terhadap pembelajaran remaja di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Hal ini kerana mereka menggunakan bahasa singkatan semasa menjawab soalan peperiksaan dan ini boleh menyebabkan mereka mendapat keputusan yang rendah contohnya dalam peperiksaan Bahasa Melayu. Selain itu, penggunaan bahasa singkatan secara meluas boleh menyebabkan sesuatu bahasa itu hilang identitinya.
Selain itu, terdapat juga pengguna yang menyalahgunakan fungsi kamera dengan perakam video untuk tujuan yang tidak senonoh. Fungsi kamera dengan perakam video yang bertujuan menangkap gambar atau merakam peristiwa untuk meninggalkan kenangan telah disalahgunakan. Dewasa ini, kita sering didedahkan dengan berita-berita mengenai penyebaran gambar-gambar atau video-video lucah remaja khususnya remaja perempuan dalam akhbar-akhbar tempatan. Remaja-remaja ini menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab seperti teman lelaki mereka yang telah memuat turunkan gambar atau video lucah mereka di internet apabila berlakunya perpisahan.
Fungsi permainan dalam telefon bimbit pula adalah bertujuan untuk hiburan pada masa lapang tetapi juga disalahgunakan olah pelajar. Mereka lebih gemar bermain permainan aplikasi daripada menghabiskan masa untuk mengulang kaji pelajaran. Terdapat juga sesetengah pelajar yang suka mendengar radio melalui telefon bimbit dan memakai alat pendengaran semasa mengulang kaji pelajaran. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian semasa belajar dan akan menyebabkan mereka mendapat keputusan yang teruk dalam peperiksaan.
Tambahan pula, ada sesetengah pelajar yang bersikap materialistik dan suka menonjolkan telefon bimbit yang dimilikinya. Perbuatan tersebut boleh menimbulkan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan pelajar dan juga membazirkan wang ibu bapa. Hal ini juga boleh menimbulkan kecemburuan pelajar lain yang tidak mampu memilikinya dan mendorong kepada berlakunya masalah kecurian telefon bimbit di sekolah.
Dalam kehidupan seharian kita, kita juga boleh menerima pesanan mesej yang mengatakan kita adalah pemenang kepada sesuatu cabutan bertuah yang hadiahnya bernilai beribu-ribu ringgit. Walaupun jenis pesanan mesej ini telah diberitahu oleh pihak berkuasa bahawa ia merupakan sejenis penipuan melalui berita atau surat khabar, namun masih banyak lagi orang yang terjerat dalamnya terutamanya warga tua dan wanita. Sekali lagi, kita boleh melihat telefon bimbit telah disalahgunakan.
Kesimpulannya, tujuan asal penggunaan telefon bimbit adalah memudahkan kita berhubung tanpa mengira jaraknya dan kita juga tidak dapat menafikan kepentingannya dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, untuk mengelakkan telefon bimbit disalahgunakan oleh remaja yang naif, ibu bapa harus tidak menggalakkan anak-anak mereka menggunakan telefon bimbit semasa kecil, atau sentiasa memantau dan menasihati mereka tentang penggunaan telefon bimbit supaya mereka menggunakan ia untuk tujuan yang baik.
PENDATANG ASING TANPA IZIN
Kini, negara Malaysia sedang mengalami kemelut ekoran kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang semakin ramai. PATI telah memilih Malaysia sebagai tempat tumpuan mereka untuk mencari rezeki dan jalan penyelesaian bagi mengubah kehidupan dengan berhijrah dari negara mereka sendiri. Menurut kamus dewan edisi keempat, pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat didefinisikan sebagai orang yang bukan warganegara Malaysia tetapi telah masuk ke Malaysia sama ada secara pendaftaran mahupun secara haram. Kebanyakan PATI yang datang ke Malaysia ialah orang yang datang dari negara luar seperti Myanmar, India , Indonesia dan sebagainya.
Kedatangan pendatang asing juga mendatangkan masalah perumahan. Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram. Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Oleh itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku. Selain itu, pembangunan negara pada masa akan datang juga terbantut. Imej negara kita juga terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang.
Kebanjiran pendatang asing tanpa izin juga turut menyebabkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khususnya sektor pembuatan dimonopoli oleh pendatang tersebut. Tidak dinafikan migrasi pendatang asing ini ke negara kita adalah berpunca daripada kurang peluang pekerjaan di negara mereka. Kesanggupan mereka untuk bekerja di negara ini terbukti apabila banyak sektor pembinaan yang menawarkan mereka pekerjaan sebagai buruh binaan yang memenatkan. Walaupun begitu, seperti kata peribahasa, "Alah bisa tegal biasa", kesusahan tersebut tidak menghalang mereka untuk terus bekerja, tidak sama seperti rakyat negara ini yang tidak tahan dengan pekerjaan berat tersebut.
Penyakit-penyakit berbahaya juga akan merebak dengan meluas. Buruh asing yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan. Sebaliknya, pendatang asing tanpa izin tidak berbuat demikian. Banyak antara mereka berasal dari kawasan mundur di negara asal mereka. Kesihatan mereka kurang terjamin. Ada antara mereka menghidap AIDS, tibi, penyakit kelamin, dan sebagainya. Akibatnya, rakyat kita menjadi mangsa. Statistik telah menunjukkan bilangan rakyat yang menghidap penyakit tibi meningkat semula.
Salah satu langkah utama menangani kedatangan pendatang asing ialah mengehadkan pergantungan kepada buruh asing. Melalui kaedah baru pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu mengikut negara sumber yang diluluskan kerajaan, kita berharap selepas ini pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan. Tanggungjawab mereka adalah untuk mengingatkan para pekerja asing di bawah jagaan mereka tentang sistem budaya bermasyarakat dan mematuhi undang-undang negara ini kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Masalah yang turut melibatkan hubungan antara dua negara ini seharusnya diselesaikan secara diplomatik antara kedua-duanya, misalnya negara Indonesia perlu menyokong dan mempersetujui tindakan kerajaan Malaysia untuk menghantar sebilangan besar rakyat negara tersebut yang tidak memiliki permit pekerjaan yang sah di negara ini tanpa mengenakan tindakan berat kepada mereka. Negara Indonesia juga perlu menerima keputusan jika Malaysia terpaksa mengenakan hukuman kepada sebahagian rakyat negara jiran yang berkeras untuk tidak menyerah diri pada tarikh yang ditetapkan. Kerjasama antara kedua-dua pihak ini pasti akan mengurangkan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini, seterusnya hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara juga tidak akan terjejas.
Pelbagai usaha dan tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa, misalnya pihak imigresen yang mengetatkan pengawasan di sempadan negara dan tidak kurang juga tindakan kerajaan untuk mengembalikan sebilangan besar pendatang asing yang tiada permit ke negara mereka. Ekoran daripada tindakan tersebut, usaha pendatang asing tanpa izin yang berniat untuk datang ke negara ini dapat dibanteras. Oleh hal yang demikian, usaha itu haruslah diteruskan agar keamanan dapat dikekalkan di negara kita.
Kesimpulannya, kita memang memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara. Namun kehadiran mereka, terutamanya golongan tanpa izin, juga menimbulkan masalah. Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan serius supaya rakyat kita tidak menjadi minoriti di tanah airnya sendiri. Masalah ini sudah tentu akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani segera. Selain itu kerjasama antara pihak berkuasa tempatan serta pihak kerajaan kita dengan kerajaan negara jiran perlu ditingkatkan agar masalah rasuah dalam kalangan pihak berkuasa tidak berlaku. Hal ini perlu dibanteras agar tidak memburukkan keadaan lagi. Jika masalah tersebut dapat ditangani, sudah tentu hal ini tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara negara yang sudah sekian lama terjalin.
KEMALANGAN JALAN RAYA
Pembangunan rangkaian pengangkutan jalan raya di Malaysia menunjukkan perubahan yang semakin pesat. Oleh yang demikian itu, peningkatan dan perkembangan dalam sektor pengangkutan telah menimbulkan banyak masalah mengenai kemalangan jalan raya. Hal ini telah menimbulkan kebimbangan banyak pihak kerana telah menunjukkan peningkatan yang mendadak. Negara mengalami kerugian baik dari segi harta benda mahupun guna tenaga yang memang amat diperlukan.
Terdapat pelbagai faktor dan langkah yang dapat dirungkaikan.
Antara salah satu faktor utama yang dapat dikesan yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia ialah faktor manusia yang sebahagiannya merupakan pengguna jalan raya terutama pemandu dan penunggang kenderaan serta pejalan kaki. Hasil kajian mendapati sifat-sifat pemandu yang sabar, cermat, sopan, beretika dan bertimbang rasa mempunyai hubungan yang positif dengan kemalangan jalan raya, iaitu kurang mengalami kemalangan. Sikap terhadap perasaan seperti terganggu, tertekan, pandu laju dalam keadaan mood tidak baik menunjukkan kecenderungan berlakunya kemalangan jalan raya.
Sikap pemandu terhadap had kelajuan menunjukkan pemandu yang memandu melebihi had laju 30 km/j dan tidak mematuhi had kelajuan jalan raya. Sikap tidak bertanggungjawab, tidak bertimbang rasa, tidak hiraukan tanda jalan, memintas kenderaan di garisan berkembar, ikut kenderaan dengan rapat, membelok tanpa memberi isyarat dan memasuki jalan utama dengan beranggapan kenderaan lain memberi laluan menunjukkan terdapatnya pelbagai sebab kemalangan jalan raya berhubung dengan had kelajuan.
Selain itu, sikap ingin mencapai kepuasan dengan memandu laju. Hal ini disebabkan pelbagai faktor seperti ingin merasa hebat di pandangan orang lain, terpengaruh dengan aksi rakan yang sering memandu laju, inginkan kepuasan maksimum dan sebagainya. Dari kajian sosio-demografi menunjukkan golongan ini dari segi pengalaman memandu, umur, tahap pendidikan dan jantina pemandu.
Di samping itu, sikap suka memandu laju disebabkan faktor tekanan masa. Sebagai contoh, ingin cepat sampai, terlewat, tergesa-gesa, ghairah ke sesuatu destinasi dan menghambat waktu pejabat turut menunjukkan punca terjadinya kemalangan jalan raya. Oleh itu kita perlu mengurus masa bagi setiap perjalanan untuk sesuatu urusan dan mengenal pasti waktu yang sesuai agar tidak tergesa-gesa serta tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya.
Seterusnya, kemalangan jalan raya juga boleh berlaku disebabkan pejalan kaki degil yang tidak mahu menggunakan jejantas yang telah disediakan. Mereka tidak mahu menggunakan jejantas yang disediakan dengan alasan untuk menjimatkan masa dan tenaga. Keadaan ini menyukarkan pemandu kenderaan lain kerana terpaksa memperlahankan kenderaan mereka, dan hal ini boleh menyebabkan berlakunya kesesakan. Walaupun pihak berkuasa kerap kali mengambil tindakan terhadap pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas ketika melintas jalan, namun tindakan ini masih kurang berkesan disebabkan kurangnya kerjasama daripada pejalan kaki.
Antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah dengan membaiki kemudahan jalan raya. Jalan raya yang rosak, bengkang-bengkok dan berselekoh tajam perlu diperbaiki. Papan-papan tanda amaran juga perlu diperbanyak bagi memberikan peringatan kepada pengguna-pengguna jalan raya.
Selain itu, kerajaan juga perlu menguatkuasakan undang-undang jalan raya. Pemandu-pemandu yang melanggar peraturan perlu didenda agar dengan cara ini membuatkan mereka lebih berhemah ketika menggunakan jalan raya. Pemandu-pemandu yang terlibat dengan kemalangan maut harus digantung lesennya.
Sehubungan dengan itu juga, kerajaan perlu mengadakan ujian memandu yang lebih praktikal untuk melahirkan pemandu yang cekap. Pemandu perlu yakin untuk mengendalikan kenderaan masing-masing ketika lalu-lintas sesak dalam cuaca yang panas. Pemandu juga perlu biasa dengan perkara-perkara asas dalam pengendalian sesebuah kenderaan.
Di samping itu, kerajaan juga perlu mengadakan kempen-kempen keselamatan jalan raya dari semasa ke semasa. Pengguna-pengguna jalan raya perlu dididik supaya lebih berhemah dan bertimbang rasa ketika berada di jalan raya. Jalan raya bukan tempat untuk berlumba, menunjukkan kekuatan ataupun tempat untuk bersuka-suka.
Kesimpulannya, punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya perlu ditangani dengan segera dan bijak. Selain kempen yang berterusan, pihak berkuasa hendaklah menguatkuasakan peraturan pada setiap masa tanpa memilih bulu. Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga hendaklah mengenakan denda yang lebih berat dan tegas kepada sesiapa sahaja yang menyebabkan kemalangan berlaku. Para pengguna jalan raya pula perlulah mengubah sikap dan sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya sepanjang masa.
Subscribe to:
Posts (Atom)