Sunday, September 5, 2010

PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT


       Telefon bimbit juga dikenali sebagai telefon tangan, telefon selular atau telefon tanpa wayar. Ia merupakan peranti elektronik, mudah alih, jarak dekat yang digunakan sebagai alat perhubungan suara atau data melalui jaringan stesen pangkalan yang dikenali sebagai tapak sel.

      Pada tahun 1876, kejayaan Alexander Graham Bell mencipta telefon telah membolehkan masyarakat seluruh dunia berhubung antara satu sama lain walaupun berjauhan. Dengan mengalami perubahan mendadak dan berkembang dengan pesat dalam bidang teknologi telekomunikasi, manusia dapat berhubung dengan manusia lain tanpa bantuan kabel melalui telefon bimbit.

      Kini, telefon bimbit merupakan barangan keperluan seharian yang akan dibawa ke mana-mana sahaja supaya mudah dihubungi. Dengan ini, banyak syarikat telah ditubuhkan untuk menawarkan perkhidmatan talian di Malaysia. Antaranya ialah MAXIS, DIGI, CELCOM dan TM (dulu dikenali sebagai TELEKOM). Selain itu, jenama telefon bimbit yang terdapat di pasaran adalah seperti Nokia, Samsung, Motorola, Sony Ericson, LG, dan banyak lagi.

      Fungsi asas telefon bimbit adalah seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi perutusan teks dan membuat panggilan. Selain itu, telefon bimbit juga mempunyai pelbagai fungsi tambahan untuk menarik minat pengguna seperti mempunyai kamera dengan perakam video, perkhidmatan internet, permainan, radio dan khidmat pesanan multimedia (MMS) bagi menghantar dan menerima gambar dan video. Ini menyebabkan telefon bimbit menjadi salah satu keperluan manusia yang penting pada masa kini. Namun, di sebalik kecanggihan telefon bimbit ia juga mendorong kepada berlakunya peningkatan masalah sosial dalam kalangan masyarakat ini.

      Penggunaan SMS amat popular dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana mereka mudah berkongsi maklumat tentang sesuatu hal. Namun penggunaan bahasa singkatan semasa SMS memberi kesan buruk terhadap pembelajaran remaja di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Hal ini kerana mereka menggunakan bahasa singkatan semasa menjawab soalan peperiksaan dan ini boleh menyebabkan mereka mendapat keputusan yang rendah contohnya dalam peperiksaan Bahasa Melayu. Selain itu, penggunaan bahasa singkatan secara meluas boleh menyebabkan sesuatu bahasa itu hilang identitinya.

      Selain itu, terdapat juga pengguna yang menyalahgunakan fungsi kamera dengan perakam video untuk tujuan yang tidak senonoh. Fungsi kamera dengan perakam video yang bertujuan menangkap gambar atau merakam peristiwa untuk meninggalkan kenangan telah disalahgunakan. Dewasa ini, kita sering didedahkan dengan berita-berita mengenai penyebaran gambar-gambar atau video-video lucah remaja khususnya remaja perempuan dalam akhbar-akhbar tempatan. Remaja-remaja ini menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab seperti teman lelaki mereka yang telah memuat turunkan gambar atau video lucah mereka di internet apabila berlakunya perpisahan.

      Fungsi permainan dalam telefon bimbit pula adalah bertujuan untuk hiburan pada masa lapang tetapi juga disalahgunakan olah pelajar. Mereka lebih gemar bermain permainan aplikasi daripada menghabiskan masa untuk mengulang kaji pelajaran. Terdapat juga sesetengah pelajar yang suka mendengar radio melalui telefon bimbit dan memakai alat pendengaran semasa mengulang kaji pelajaran. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian semasa belajar dan akan menyebabkan mereka mendapat keputusan yang teruk dalam peperiksaan.

      Tambahan pula, ada sesetengah pelajar yang bersikap materialistik dan suka menonjolkan telefon bimbit yang dimilikinya. Perbuatan tersebut boleh menimbulkan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan pelajar dan juga membazirkan wang ibu bapa. Hal ini juga boleh menimbulkan kecemburuan pelajar lain yang tidak mampu memilikinya dan mendorong kepada berlakunya masalah kecurian telefon bimbit di sekolah.

      Dalam kehidupan seharian kita, kita juga boleh menerima pesanan mesej yang mengatakan kita adalah pemenang kepada sesuatu cabutan bertuah yang hadiahnya bernilai beribu-ribu ringgit. Walaupun jenis pesanan mesej ini telah diberitahu oleh pihak berkuasa bahawa ia merupakan sejenis penipuan melalui berita atau surat khabar, namun masih banyak lagi orang yang terjerat dalamnya terutamanya warga tua dan wanita. Sekali lagi, kita boleh melihat telefon bimbit telah disalahgunakan.

      Kesimpulannya, tujuan asal penggunaan telefon bimbit adalah memudahkan kita berhubung tanpa mengira jaraknya dan kita juga tidak dapat menafikan kepentingannya dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, untuk mengelakkan telefon bimbit disalahgunakan oleh remaja yang naif, ibu bapa harus tidak menggalakkan anak-anak mereka menggunakan telefon bimbit semasa kecil, atau sentiasa memantau dan menasihati mereka tentang penggunaan telefon bimbit supaya mereka menggunakan ia untuk tujuan yang baik.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment