Sunday, September 5, 2010

ROGOL

      Kini, masalah sosial semakin serius di negara kita, kes rogol adalah salah satu daripadanya. Perkataan rogol berasal dari perkataan Latin ‘rapere’ yang bermaksud merampas atau mencuri. Rogol atau pencabulan merujuk kepada serangan seksual yang mana penyerang memaksa mangsa untuk melakukan hubungan seks tanpa keizinan atau kerelaan mangsa itu. Rogol boleh juga merujuk kepada berlakunya hubungan seksual dengan kerelaan mangsa tetapi dari segi undang-undang mangsa tersebut belum cukup umur, ini dikenali sebagai “rogol statutori”. Istilah “rogol dating” atau “rogol kenalan” dalam bahasa pasar merujuk kepada perogolan yang berlaku antara individu yang bertemu berdua-duaan atau berkenalan. Di Amerika Syarikat, “Laporan Jenayah Seragam” (Uniform Crime Reports) menggunakan istilah “rogol paksaan” untuk menjelaskan perogolan seorang wanita oleh seorang lelaki.

      Punca-punca yang mendatangkan kes rogol adalah pengaruh media massa. Media massa seperti komputer dan televisyen banyak menayangkan rancangan dari Barat. Filem-filem lucah dan bahan-bahan pornografi mudah didapati oleh semua orang melalui internet. Ini bermakna filem-filem tersebut yang pada masa dahulunya hanya boleh disiarkan di negara-negara Barat, kini boleh didapati di Malaysia dan ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat. Selain itu, lambakan bahan picisan yang berunsurkan seks juga mudah didapati kerana dijual di merata-rata tempat dengan harga yang murah. Media massa juga menyampaikan maklumat fesyen-fesyen terkini yang kebanyakannya menjolok mata atau berpakaian seksi menyebabkan kes rogol berlaku.

      Pegangan agama yang rapuh juga punca berlakunya kes rogol. Dalam kalangan setengah masyarakat, kita didapati agama mereka tidak lagi memainkan peranan penting dalam kehidupan. Tanpa didikan agama, mereka tidak dapat membezakan antara perbuatan yang baik dan buruk. Mereka tidak dapat bertindak secara rasional dan lebih suka mengikut emosi untuk mengatasi sesuatu masalah. Oleh itu, mereka mudah terpengaruh dengan gejala sosial seperti kes rogol. Tetapi jika seseorang itu adanya didikan agama dalam hati dia, didikan itu boleh menjadi benteng yang kukuh untuk menahankan dia daripada melakukan perbuatan yang tidak baik. Masyarakat yang tidak berpegang agama tidak takut membuat dosa kerana beranggapan perbuatan tersebut tidak mendapat pembalasan Tuhan pada masa itu.

      Selain itu, sikap masyarakat yang bersifat tidak peduli, individualistik dan materialistik menyebabkan kes rogol berlaku berleluasa. Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian, kebanyakan kes rogol banyak berlaku di bandar, sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa-apa perkara yang berlaku di sekeliling mereka menyebabkan perogol merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini kerana mereka tahu tidak ada sesiapa yang akan ambil peduli.

      Kesan kes rogol terhadap mangsa ialah kesan kepada psikologi. Mangsa rogol biasanya didapati mengidap Sindrom Renjatan Emosi Rogol (Rape Trauma Syndrome (RTS). Mangsa tersebut akan berasa dosa, malu, terhina, ketegangan, kemarahan dan ketidakselesaan pada perut. Mangsa rogol mungkin juga berhadapan dengan kehamilan yang tidak diingini, penyakit kelamin, gangguan tidur, perasaan takut yang melampau, gagal dalam perhubungan dan lain-lain. Mereka yang mengalami trauma secara psikologi mungkin akan menunjukkan tingkah laku untuk membunuh diri dan memerlukan pertolongan daripada pakar psikiatri.

      Kesejahteraan sosial digugat akibat daripada berlakunya kes rogol. Apabila kes rogol berlaku di sekeliling kita, ketenteraman awam akan diganggu, masyarakat akan berasa tidak selamat. Mereka akan sentiasa bimbang tentang keselamatan diri, keluarga dan kawan mereka.

      Jika bilangan kes rogol di negara kita semakin meningkat ia akan menjejaskan imej negara. Negara-negara lain akan memandang rendah kredibiliti negara kita, maka pelancong asing akan mengurangkan minat mereka untuk membuat pelancongan. Pelancong asing yang melancong di negara kita dan melihat gejala ini berlaku berleluasa, mereka akan menceritakan kepada kawan-kawan yang lain apabila mereka balik ke negara asal mereka. Media massa negara asing akan mengheboh-hebohkan perkara tersebut lalu menjejaskan imej negara kita.
      Terdapat beberapa langkah untuk mengatasi gejala kes rogol, antaranya ialah peranan kerajaan memainkan peranan yang penting. Kerajaan haruslah melancarkan pelbagai kempen ataupun program tentang kes rogol kepada semua kalangan masyarakat. Kerajaan boleh memaparkan informasi yang berkaitan melalui media massa sedia ada. Selain itu, hukuman terhadap perogol juga boleh dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.

      Media massa seperti surat khabar, internet dan lain-lain juga memainkan peranan yang amat penting. Media massa sebagai alat penyampaian informasi terkini patutlah berhati-hati semasa memilih bahan yang ingin diterbitkan atau ditayangkan. Bahan yang dipilih mestilah bahan yang bermutu dan bukanlah memilih bahan yang berbentuk komersial sahaja atau boleh membawa kemudaratan kepada masyarakat atau dirinya sendiri. Media massa seharusnya jangan mendedahkan filem-filem atau program hiburan yang mempamerkan unsur-unsur lucah.

      Individu itu sendiri juga boleh mengelakkan diri dia sendiri daripada terlibat dalam kes rogol. Pemakaian kita seharusnya jangan terlalu menjolok mata orang lain atau pemakaian yang terlalu seksi lalu menyebabkan perhatian orang lain tertumpu kepada kita. Jangan mendedahkan diri kepada unsur-unsur mengandungi lucah. Kaum wanita harus bertegas dalam menjaga kehormatan diri dan tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu lelaki. Elakkan daripada pulang ke rumah di waktu malam atau melalui lorong-lorong gelap dan sunyi, jika memang perlulah balik rumah pada waktu malam pastikan sentiasa di teman rakan yang sama jantina.

       Berdasarkan undang-undang di Malaysia, hukuman terhadap perogol ialah jika dia disabitkan bersalah, dia akan dihukum mandatori minima selama 5 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun penjara termasuk dirotan. Di negeri-negeri Amerika Syarikat, rogol boleh mengakibatkan hukuman mati pada awal abad ke-20an.

      Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu menangani gejala kes rogol ini supaya tidak menjadi lebih serius lagi. Mangsa-mangsa rogol sepatutnya membuat laporan supaya perogol itu boleh ditangkap dan dihukum.

No comments:

Post a Comment