Sunday, September 5, 2010

KEMALANGAN JALAN RAYA

      Pembangunan rangkaian pengangkutan jalan raya di Malaysia menunjukkan perubahan yang semakin pesat. Oleh yang demikian itu, peningkatan dan perkembangan dalam sektor pengangkutan telah menimbulkan banyak masalah mengenai kemalangan jalan raya. Hal ini telah menimbulkan kebimbangan banyak pihak kerana telah menunjukkan peningkatan yang mendadak. Negara mengalami kerugian baik dari segi harta benda mahupun guna tenaga yang memang amat diperlukan.
Terdapat pelbagai faktor dan langkah yang dapat dirungkaikan.

     Antara salah satu faktor utama yang dapat dikesan yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia ialah faktor manusia yang sebahagiannya merupakan pengguna jalan raya terutama pemandu dan penunggang kenderaan serta pejalan kaki. Hasil kajian mendapati sifat-sifat pemandu yang sabar, cermat, sopan, beretika dan bertimbang rasa mempunyai hubungan yang positif dengan kemalangan jalan raya, iaitu kurang mengalami kemalangan. Sikap terhadap perasaan seperti terganggu, tertekan, pandu laju dalam keadaan mood tidak baik menunjukkan kecenderungan berlakunya kemalangan jalan raya.

      Sikap pemandu terhadap had kelajuan menunjukkan pemandu yang memandu melebihi had laju 30 km/j dan tidak mematuhi had kelajuan jalan raya. Sikap tidak bertanggungjawab, tidak bertimbang rasa, tidak hiraukan tanda jalan, memintas kenderaan di garisan berkembar, ikut kenderaan dengan rapat, membelok tanpa memberi isyarat dan memasuki jalan utama dengan beranggapan kenderaan lain memberi laluan menunjukkan terdapatnya pelbagai sebab kemalangan jalan raya berhubung dengan had kelajuan.

      Selain itu, sikap ingin mencapai kepuasan dengan memandu laju. Hal ini disebabkan pelbagai faktor seperti ingin merasa hebat di pandangan orang lain, terpengaruh dengan aksi rakan yang sering memandu laju, inginkan kepuasan maksimum dan sebagainya. Dari kajian sosio-demografi menunjukkan golongan ini dari segi pengalaman memandu, umur, tahap pendidikan dan jantina pemandu.

      Di samping itu, sikap suka memandu laju disebabkan faktor tekanan masa. Sebagai contoh, ingin cepat sampai, terlewat, tergesa-gesa, ghairah ke sesuatu destinasi dan menghambat waktu pejabat turut menunjukkan punca terjadinya kemalangan jalan raya. Oleh itu kita perlu mengurus masa bagi setiap perjalanan untuk sesuatu urusan dan mengenal pasti waktu yang sesuai agar tidak tergesa-gesa serta tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

      Seterusnya, kemalangan jalan raya juga boleh berlaku disebabkan pejalan kaki degil yang tidak mahu menggunakan jejantas yang telah disediakan. Mereka tidak mahu menggunakan jejantas yang disediakan dengan alasan untuk menjimatkan masa dan tenaga. Keadaan ini menyukarkan pemandu kenderaan lain kerana terpaksa memperlahankan kenderaan mereka, dan hal ini boleh menyebabkan berlakunya kesesakan. Walaupun pihak berkuasa kerap kali mengambil tindakan terhadap pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas ketika melintas jalan, namun tindakan ini masih kurang berkesan disebabkan kurangnya kerjasama daripada pejalan kaki.

      Antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah dengan membaiki kemudahan jalan raya. Jalan raya yang rosak, bengkang-bengkok dan berselekoh tajam perlu diperbaiki. Papan-papan tanda amaran juga perlu diperbanyak bagi memberikan peringatan kepada pengguna-pengguna jalan raya.

      Selain itu, kerajaan juga perlu menguatkuasakan undang-undang jalan raya. Pemandu-pemandu yang melanggar peraturan perlu didenda agar dengan cara ini membuatkan mereka lebih berhemah ketika menggunakan jalan raya. Pemandu-pemandu yang terlibat dengan kemalangan maut harus digantung lesennya.
      Sehubungan dengan itu juga, kerajaan perlu mengadakan ujian memandu yang lebih praktikal untuk melahirkan pemandu yang cekap. Pemandu perlu yakin untuk mengendalikan kenderaan masing-masing ketika lalu-lintas sesak dalam cuaca yang panas. Pemandu juga perlu biasa dengan perkara-perkara asas dalam pengendalian sesebuah kenderaan.

      Di samping itu, kerajaan juga perlu mengadakan kempen-kempen keselamatan jalan raya dari semasa ke semasa. Pengguna-pengguna jalan raya perlu dididik supaya lebih berhemah dan bertimbang rasa ketika berada di jalan raya. Jalan raya bukan tempat untuk berlumba, menunjukkan kekuatan ataupun tempat untuk bersuka-suka.

      Kesimpulannya, punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya perlu ditangani dengan segera dan bijak. Selain kempen yang berterusan, pihak berkuasa hendaklah menguatkuasakan peraturan pada setiap masa tanpa memilih bulu. Bukan itu sahaja, pihak berkuasa juga hendaklah mengenakan denda yang lebih berat dan tegas kepada sesiapa sahaja yang menyebabkan kemalangan berlaku. Para pengguna jalan raya pula perlulah mengubah sikap dan sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya sepanjang masa.

No comments:

Post a Comment