Sunday, September 5, 2010

MAT REMPIT

      Sejak kebelakangan kini, berbagai ragam krisis akhlak dan moral terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalism, rogol, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.

      Mat rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan motosikal kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Manakala minah rempit merupakan seorang pelumba perempuan, atau teman wanita mat rempit. Walaupun kebanyakan mat rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Mat rempit juga telah dikaitkan dengan kegiatan gangster, rompak berkumpulan, pergaduhan, laku musnah, kecurian dan buli.

Punca yang menyebabkan mat rempit

- Penyalahgunaan dadah

Punca yang menyebabkan remaja melibatkan diri sendiri dalam kegiatan lumba haram terutama adalah penyalahgunaan dadah. Apa yang dikatakan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azeem Fazwan Ahmad bahawa gejala mat rempit mengundang kepada masalah jenayah tidak boleh dilihat sebagai suatu pandangan akademik sahaja. Manusia yang waras tidak akan merempit sehingga boleh mengundang maut. Orang waras tidak akan sanggup melakukan jenayah sama ada bergaduh, merompak, ragut, rogol dan sebagainya. Malah untuk berkelakuan tidak sopan pun mereka tak akan sanggup. Kalau ‘tak betul’ akal itu kerana berpunca dari ‘kementahan’ usia remaja itu sendiri tidaklah payah sangat untuk diperbaiki dan diperbetulkan. Tetapi kalau ‘tak betul’ akal itu berpunca dari pil kuda, syabu atau pelbagai jenis dadah atau arak, agak sukar dipulihkan. Sesungguhnya penyalahgunaan apa jenis dadah sekalipun, hanya sanggup dan tergamak dilakukan oleh mereka yang ‘tidak betul’ akalnya sahaja. Walaupun pembangunan jiwa remaja perlu diutamakan bagi membanteras kegiatan mat rempit yang memungkinkan menjadi penyumbang kepada pelbagai perlakuan jenayah, namun segala usaha tidak akan ke mana kalau punca kepada berlakunya kerosakan dan ‘tidak betulnya’ akal fikiran tidak dihapuskan.

- Perspektif psikologi remaja sekarang

Kes muda mudi melibatkan diri dalam perlumbaan motosikal secara haram perlu dilihat dalam perspektif psikologi remaja masa kini. Kesemua penunggang motosikal melibatkan diri dalam kegiatan ganas seperti disiarkan olah media massa ialah terdiri daripada remaja yang tidak mempunyai persatuan dan kumpulan. Mereka melakukan sesuatu mengikuti gerak hati tanpa menghiraukan keselamatan diri dan sebagainya. Deruman enjin motosikal yang menyakiti telinga merupakan satu cara untuk mereka melepaskan perasaan kekecewaan resah dan gelisah dan deruman enjin ini bagaikan membangkitkan semangat mereka untuk menyahut bunyi enjin tersebut. Keadaan ini disebabkan golongan remaja ini mempunyai adik beradik yang ramai di mana ibu bapa mereka tidak mampu untuk menumpukan perhatian kepada kesemua anak-anak kerana terpaksa menumpukan perhatian kepada pencarian nafkah hidup. Sistem pendidikan rendah dan menengah yang dilaksanakan oleh kerajaan juga menjadi bahan kritikan kepada golongan remaja ini kerana sistem persekolahan lebih menumpukan perhatian kepada peperiksaan yang mana memberi lebih keutamaan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik. Sedangkan pelajar-pelajar yang tidak mempunyai kebolehan dalam akademik diketepikan. Suasana begini menyebabkan mereka menjadi bosan dan mahu mencari jalan untuk meluahkan kekecewaan dengan menyertai perlumbaan motosikal haram bersama rakan-rakan.

- Pengaruh kawan-kawan, filem atau cerita

Selain itu, terdapat kebanyakan mat rempit masih lagi bersekolah dan tidak memiliki lesen memandu. Dengan menarik hati remaja untuk melibatkan diri sendiri dalam kegiatan mat rempit, penganjur akan menyediakan hadiah-hadiah yang berbentuk wang dan gadis bohsia sebagai taruhan, dengan ini kalangan bookie dapat membuat keuntungan dari pertaruhan lumba haram tersebut. Bagi menambah kelajuan motosikal, karburetor, piston, brek, handle, tayar dan lain-lain diubahsuai. Dianggarkan 70% alat ganti tersebut didapati dari hasil motor curi kerana harganya jauh lebih murah berbanding pasaran. Terdapat juga sebahagian mat rempit adalah dipengaruhi oleh rakan sebaya dan menonton filem atau drama lumba haram seperti KL Menjerit, Initial D dan siri filem The Fast and the Furious. Walaupun penerbit filem-filem tersebut telah meletakkan amaran agar tidak meniru aksi-aksi lumba haram di dalam filem mereka, namun ramai pelumba haram yang tidak mengendahkan amaran tersebut. Mereka juga melalui novel, cerpen dan komik seperti siri mangga Initial D dan Wangan Midnight atau permainan video seperti Need foe Speed: Underground dan Need for Speed: Most Wanted untuk mempelajari aksi-aksi tersebut.
Akibat daripada mat rempit

- Menyebabkan kemalangan maut

Akibat yang akan berlaku dalam lumba haram ialah lumba haram sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya di kalangan pelumba haram motosikal. Terdapat juga kes langgar lari yang berpunca daripada lumba haram. Oleh itu, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya. Lumba haram turut menyumbang kepada gejala keruntuhan moral dan maksiat di kalangan remaja yang semakin serius kerana selain menyediakan hadiah wang yang sememangnya mempunyai kaitan dengan perjudian, dan penganjur perlumbaan haram juga turut menyediakan hadiah bohsia untuk ditiduri.
- Peningkatan kes kecurian

Tidak dinafikan, perlumbaan haram turut berperanan dalam memajukan industri automotif berikutan penambahan jualan kereta dan motosikal serta pengubahsuaian kenderaan. Sungguhpun demikian, persaingan di kalangan pelumba haram mengakibatkan pelumba haram membazirkan wang dengan sia-sia untuk mengubahsuai kenderaan mereka supaya lebih berkuasa dan tabiat sebegini sudah tentu merugikan diri mereka sendiri. Lumba haram juga adalah salah satu penyumbang utama kepada peningkatan kes kecurian kenderaan terutamanya motosikal dan kereta. Segelintir pelumba haram sanggup mencuri kenderaan kerana ingin dijadikan kenderaan perlumbaan serta kerana mahu mendapat kenderaan baru setelah kalah kerana dalam sesetengah kes, pelumba haram yang kalah terpaksa menyerahkan kenderaan mereka kepada pemenang.

Langkah penyelesaian mat rempit

- Melalui penguatkuasaan kerajaan

Bagi mengatasi mat rempit tersebut, langkah-langkah yang perlu diambil adalah parti politik perlu bersatu perangi mat rempit dengan melalui pertubuhan yang mempunyai kekuatan daripada segi bilangan ahli dan populariti merupakan landasan paling tepat sebagai penggerak untuk menjana sokongan masyarakat. Sudah tiba masanya untuk parti-parti politik mula mengambil langkah proaktif dan mengadakan program-program yang lebih berunsur kemasyarakatan. Parti-parti ini mestilah mempunyai kekuatan daripada segi sumber manusia dan material. Jika digembleng segala aset, sudah tentu program yang diadakan akan sampai ke segenap lapisan masyarakat. Sekali gus ia dapat mencapai sasaran yang lebih besar. Contoh program yang telah diadakan untuk membabitkan mat rempit tersebut adalah Sukan Malam 2007 yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan. Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said, program tersebut diyakini dapat mengatasi masalah pengagihan dadah dan penglibatan belia di kelab-kelab malam terutamanya terlibat dalam perlumbaan haram. Menurut Datuk Seri Azalina, program ini juga berupaya menggerakkan pembangunan modal insan di kalangan belia selain memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan sukan.

- Melalui hukuman

Langkah yang lain ialah mengenakan hukuman yang berat dan penguatkuasaan undang-undang terhadap mat rempit. Mat rempit sudah terlalu banyak menyusahkan rakyat. Tidak tahu siapa mangsa seterusnya. Mungkin isteri, anak-anak, adik dan kawan kita. Tidak mustahil juga kita sendiri menjadi mangsa mereka. Isu ragut dan rempit ini adalah masalah lama. Musimnya datang lagi tatkala kita bergelut dengan masalah politik dan ekonomi. Jadi sampai bila masalah ragut dan rempit ini harus dibiarkan berlarutan. Apa yang jelas, golongan mat rempit sudah melampau. Mereka sudah hilang hormat terhadap dan pihak berkuasa. Kerajaan mesti bertindak tegas bagi menghalang dan mencegah kegiatan mereka. Ibu bapa, guru dan masyarakat harus bertanggungjawab untuk mencegah sebelum keadaan menjadi lebih parah. Lazimnya apabila gejala ini didedahkan oleh media, pelbagai idea dan cadangan dikemukakan. Masalah kita untuk menangani sesuatu gejala ialah penguatkuasaan. Kita banyak melaksanakan program ke arah ‘mendidik’ orang ramai supaya mematuhi undang-undang. Tetapi apabila tiada penguatkuasaan atau pemantauan maka masalah lama akan timbul semula. Kita kena terima hakikat ini. Cuba kita lihat semasa isu bohsia heboh diperkatakan pada pertengahan 1990-an, kerajaan lahirkan program Rakan Muda. Tujuannya untuk menyediakan program yang sesuai untuk remaja daripada mereka berpeleseran dan membuang masa. Begitu juga untuk mengatasi masalah budaya lepak dan mat rempit, maka lahirkan Program Latihan Khidmat Negara supaya peserta yang dipilih mempunyai semangat patriotik dan menghargai diri untuk agama, bangsa dan negara.

- Pendekatan agama

Pendekatan agama juga merupakan salah satu langkah yang penting untuk menangani mat rempit. Adalah ‘rahsia terbuka’ bahawa majoriti remaja yang terlibat dalam kegiatan ini adalah Melayu dan beragama Islam. Inilah yang mencemaskan kita. Oleh itu, adalah tanggungjawab umat Islam untuk sama-sama mencari penyelesaian isu ini yang jika dibiarkan ibarat barah yang semakin serius. Masjid-masjid perlu ‘meraikan’ golongan remaja begini. Para imam dan pegawai masjid mesti mempunyai kaedah hikmah dan psikologi. Gunakan ‘jarum suntikan’ secara harus untuk menarik mereka kembali ke pangkal jalan. Jika perlu adakan siri bimbingan fardu ain khas kepada golongan ini terutama tentang kepentingan solat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: hidup mu sebelum mati mu, sihat mu sebelum sakit mu, waktu lapang mu sebelum waktu sibuk mu, muda mu sebelum tua mu dan kekayaan mu sebelum kemiskinan mu”. (Riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi)

       Kesimpulannya, sebagaimana gejala sosial yang lain, peranan yang dimainkan ibu bapa adalah amat penting untuk menjayakan sebarang usaha menangani masalah tersebut. Selain mengenakan tindakan tegas ke atas mat rempit, tindakan yang sama tegas terhadap ibu bapa atau pemilik motosikal yang digunakan juga boleh membantu untuk menangani masalah ini, kalau tidak sekalipun, membantu mengelakkan gejala ini dari menjadi lebih buruk lagi. Aktivis sosial termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan untuk mencapai matlamat menangani gejala merempit. Apa sekalipun, yang pasti, masalah ini kini kian meruncing dan kesepaduan semua pihak adalah merupakan kunci yang akan dapat menyelesaikan segala permasalahan ini.

No comments:

Post a Comment